HANYA KITA YANG MEMAHAMI DIRI KITA.CUBA YANG TERBAIK HARI DEMI HARI UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Saturday, October 09, 2010

PENJELASAN TENTANG SOLAT DAN WAKTU2 DITEGAH SOLAT.




Terdapat banyak kekeliruan berkenaan waktu2 yang ditegah melakukan solat..secara ringkasnya adalah seperti berikut..


Berkenaan masalah solat diwaktu haram terdapat khilaf para ulama' :




Hadis pertama:


hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya yang maksudnya:
“Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang dan mengkebumikan mayat, iatu ketika matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis kedua
:

hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sahallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas Asar sehinggalah matahari terbenam”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

MAKA : TERDAPAT 2 PENDAPAT UMUM ULAMA' ..


A. Ulama-ulama Hanafiah , Malikiah dan Hanabiah melarang segala solat diwaktu haram , berdalilkan maksud umum hadis di atas iaitu larangan solat di waktu haram.
B. Manakala Syafi'iah dan satu riwayat dalam Mazhab Ahmad mengatakan hadis larangan itu adalah khusus untuk solat sunat muthlaq tanpa pengkhususan sebab. Adapun , solat sunat yang khusus bersebab seperti solat tahiyyatul masjid dan sebagainya adalah dibolehkan untuk kita mengerjakannya.

Maka bagi kita umat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie, maka pendapat kedua itu adalah yang diguna pakai bagi konteks masyarakat kita.


Secara UMUM Waktu-waktu ditegah solat adalah:


1. Sesudah solat subuh hingga terbit matahari. [kecuali bagi mereka yang berada di Tanah Haram MEKAH].

2. Selepas terbit matahari hingga kadar 7 hasta pandangan mata. Kira-kira 3 darjah.

3. Ketika matahari tegak diatas kepala kecuali pada hari jumaat.

berdasarkan hadis Nabi bermaksud

"Nabi muhammad saw membenci sembahyang pada tengahari kecuali hari jumaat dan baginda mengatakan sesungguhnya neraka itu marak kecuali hari jumaat"
(HR Abu Daud).


4. Selepas solat Asar [kecuali di Tanah Haram MEKAH ].

5. Ketika matahari kemerahan diwaktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya. [kecuali di Tanah Haram MEKAH ]


Menurut mazhab shafie makruh tanzih melakukan solat pada waktu ini. Tetapi walaupun makruh, solat tersebut tetap tidak sah dan berdosa kerana tidak ada petunjuk padanya.


Apakah Dia Sembahyang-Sembahyang Yang Dilarang Pada Waktu ini?


Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang lima ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tiada mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih.


Sembahyang juga ditegah melakukannya apabila sembahyang itu bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian.

Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah itu pula kerana membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah.


Terdapat Sembahyang2 TERTENTU yang DIBENARKAN pada waktu2 ditegah sembahyang
:

Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka
harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram. Misalnya:

1. sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, berdasarkan hadis2..antara hadisnya

Dalam hadis Ummu Salamah r.a. katanya: Nabi Sallallahu Alahi Wasallam pernah bersolat dua rakaat selepas Asar, lalu aku menyoal baginda tentangnya. Sabdanya: Sekumpulan manusia dari suku Abd Qais datang kepadaku, dan mereka menyibukkan aku daripada dua rakaat selepas Zohor.
Maka inilah (qadha) dua rakaat tersebut". ( Bukhari dan Muslim).


2. sembahyang Janazah, sembahyang Istisqa’,
3. sembahyang gerhana,

4. sembahyang Hari Raya,

5. sembahyang Dhoha,

6. sembahyang sunat Thawaf,

7. sembahyang sunat Wudhu,

8. sembahyang sunat Tahiyatul Masjid,

hadis : “Sekiranya kamu masjid , maka janganlah duduk sehingga kamu menunaikan solat 2 rakaat” (merujuk kepada solat Tahyatul masjid )

(HR Imam Bukhari no : 1163 dan Imam Muslim no : 714 )

hadis : “Apabila telah datang kamu (ke masjid) pada hari jumaat dan ( ketika itu ) imam sedang berkhutbah , maka solatlah kamu 2 rakaat (tahyatul masjid)”

[thtl: al-Albani, sahih alJaami, # 464, dari Jabir ra]


9. sujud Tilawah dan sujud Syukur

Menurut sebuah riwayat mengenai dengan peristiwa taubat Ka‘ab bin Malik bahawa dia telah melakukan sujud syukur selepas sembahyang fardhu Subuh sebelum lagi terbit matahari.
Menurut sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam brsabda kepada Bilal yang maksudnya :
Maksudnya: “Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah perkerjaan yang paling kau harapkan daripada perkerjaan-perkerjaan yang telah kamu lakukan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga?” Bilal berkata: “Aku tidak melakukan suatu perkerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat)
(Hadis riwayat al-Bukhari)

10. dan lain-lain solat yang sebabnya adalah terdahulu.


Sembahyang-sembahyang ini harus untuk dilakukan pada lima-lima waktu dilarang melakukan sembahyang itu berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Ijma‘ para ulama.

......................................................................................................................................................................

PENJELASAN LENGKAP BERKENAAN SOLAT DAN WAKTU2 HARAM DARI PEJABAT MUFTI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERPEGANG KEPADA MAZHAB SYAFIE.

Apakah Dia Sembahyang-Sembahyang Yang Dilarang Melakukannya itu?
Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang lima ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tiada mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih.
Solat yang ditegah juga adalah sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian.
Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah itu pula kerana membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah.
Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram.
Misal sembahyang-sembahyang berkenaan ialah seperti sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang Janazah, sembahyang Istisqa’, sembahyang gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhoha, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Wudhu, sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, sujud Tilawah dan sujud Syukr dan lain-lain solat yang sebabnya terdahulu.

Sembahyang-sembahyang ini harus untuk dilakukan pada lima-lima waktu dilarang melakukan sembahyang itu berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Ijma‘ para ulama.

Menurut sebuah riwayat mengenai dengan peristiwa taubat Ka‘ab bin Malik bahawa dia telah melakukan sujud syukur selepas sembahyang fardhu Subuh sebelum lagi terbit matahari.
Menurut sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam brsabda kepada Bilal yang maksudnya :
Maksudnya: “Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah perkerjaan yang paling kau harapkan daripada perkerjaan-perkerjaan yang telah kamu lakukan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga?” Bilal berkata: “Aku tidak melakukan suatu perkerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat)”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan bahawa sujud syukur harus dilakukan pada waktu yang terlarang. Begitu juga dengan sembahyang sunat wudhu setelah bersuci dengan mengambil wudhu sebagaimana yang diamalkan oleh Bilal Radhiallahu ‘anhu tidak mengira siang atau malam. Ini kerana sebab sembahyang sunat wudhu dan sujud syukur itu adalah sebab yang terdahulu bukan terkemudian. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai sebab yang terdahulu.

Hikmah Pengharaman Sembahyang Pada Waktu-Waktu Berkenaan

Larangan mengerjakan sembahyang pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri.
Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya. Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam dimarakkan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam, maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang kafir bersembahyang untuknya.
Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila matahari tepat berada di tengah (waktu istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorang mengerjakan sembahyang”
(Hadis riwayat An-Nasaie)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya :
“Maka sesungguhnya neraka Jahannam di nyalakan pada waktu tengah hari( iaitu ketika matahari berada ditengah-tengah)”
(Hadis riwayat An-Nasaie)
Adapun hikmah melarang sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan Asar bukanlah disebabkan sesuatu yang wujud dalam waktu itu, sebab dari segi hukum waktu itu dihabiskan dengan kewajipan waktu, yang lebih baik daripada sunat yang sebenarnya. .(Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:1/520)


Lain-Lain Waktu Yang Ditegah Melakukan Sembahyang


Selain daripada waktu-waktu tegahan bersembahyang sebagaimana yang diperjelaskan di atas ada juga beberapa waktu dan keadaan yang juga dilarang sama ada hukumnya makruh atau haram sebagaimana yang akan dihuraikan dibawah ini.

1.Ketika hendak didirikan sembahyang fardhu.

Makruh memulakan sembahyang sunat selepas muadzdzin memulakan iqamah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawatib, seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur dan lain-lain. Sama ada dia meyakini yang dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam atau tidak.(Lihat Al-Majmu:4/62)
Dalil pendapat ini hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Apabila sembahyang didirikan, maka tidak boleh dilakukan sembahyang kecuali sembahyang fardhu.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Adapun hikmah larangan bersembahyang sunat selepas iqamah dilaungkan ialah supaya seseorang itu sempat bersembahyang fardhu bersama-sama dengan imam dari awalnya, iaitu dia boleh memulakan sembahyang beriringan dengan imam.
Jika dia sibuk dengan sembahyang sunat, dia akan luput takbiratul ihram bersama-sama imam. Begitu juga dia akan luput beberapa amalan sembahyang yang menyempurnakan fardhu. Fardhu adalah lebih utama dijaga supaya sempurna. Hikmah lain pula ialah adanya larangan daripada menyalahi imam. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 1 / 532 .)

2.Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar
Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar.
Berkata imam An-Nawawi yang maknanya :
“Berkata Ash-hab Syafi‘ieyah: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah ditegah untuk memulakan sembahyang sunat, mereka menaqal bahawa telah ijma‘ ulama dalam perkara ini. Dan berkata Pengarang al-Hawi: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah haram ke atas orang yang berada di dalam masjid untuk memulakan sembahyang sunat, jika waktu itu dia sedang di dalam sembahyang hendaklah dia duduk (berhenti)”(Al-Majmu‘: 4/472).
Haram mendirikan sembahyang sama ada sembahyang itu sembahyang fardhu atau sunat sekalipun qadha sembahyang itu wajib disegerakan.
Umpamanya orang yang meninggalkan sembahyang Subuh tanpa sebarang uzur, maka haram dia melakukan qadha Subuh itu sejak dari waktu duduknya imam itu sekalipun sebelum dia membacakan khutbah. Atau sekalipun dia yakin yang dia boleh selesai dan sempat mengikuti permulaan khutbah, sebagaimana yang telah dii‘timadkan oleh al-Ramli dalam Fatawanya. (Fathul ‘Allam 3/111).
Jika dilakukannya sembahyang pada ketika itu, maka tidaklah sah sembahyangnya walaupun pada ketika imam itu membacakan doa untuk sultan ataupun ketika mengucapkan taraddhi (mengucapakan Radhiallahu ‘anh apabila disebut nama-nama para sahabat) kerana semua itu dikira ada hubungannya dengan khutbah Jumu‘ah. (Fathul ‘Allam:3/111)
Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya yang maknanya :
“Tidak shah (sembahyang fardhu seperti sembahyang qadha yang baru dia teringat ketika itu sekalipun wajib disegerakannya atau sembahyang sunat) dan juga tidak shah thawaf dan sujud tilawah atau syukur menurut yang zhahir pada keduanya (thawaf dan sujud tilawah atau sujud syukur) sebab mengambil illah para ulama mengapa diharamkan sembahyang (selepas imam duduk di atas mimbar) kerana perbuatan itu adalah menghindar atau berpaling daripada (mendengar) khutbah secara keseluruhan”
(Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)

Sepertimana diharamkan mendirikan sembahyang pada waktu tersebut, adalah juga diharamkan memanjangkan sembahyangnya. Maka, sesiapa yang pada ketika itu (ketika imam duduk di atas mimbar) dia sedang sembahyang, maka wajib dia mentakhfif (meringankan atau menyingkatkan) sembahynagnya itu.(Fathul ‘Allam:3/112)
Maksud mentakhfifkan sembahyang itu ialah memadai melakukan perkara-perkara yang rukun dan wajib dalam sembahyang sahaja. Ada juga pendapat lain yang mendifinisikan bahawa maksud takhfif itu ialah meninggalkan tathwil (memanjangkan) menurut ‘urf (kebiasaan) dan ini adalah pendapat yang awjah sepertimana dalam syarah ar Ramli. Menurut pandapat ini adalah makruh menambah daripada apa yang wajib sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kurdi sebagai menjaga pendapat yang pertama itu. (Fathul ‘Allam:3/113)

As-Saiyid Abu Bakr menyebutkan sebagaimana yang dinaqalnya daripada perkataan Ibn Qasim bahawa sayugianya jika dia memulakan sembahyang fardhu sebelum imam (khatib) duduk di atas mimbar, dan khatib itu duduk sedang dia masih di dalam sembahyangnya, jika sembahyangnya itu tinggal dua rakaat maka harus dia melakukannya (menyempurnakannya) dan wajib dia mentakhfif. Jika banyak (lebih daripada dua rakaat), maka ditegah melakukannya dan wajib dia memberhentikannya atau menukarkannya menjadi sembahyang sunat dan memadailah melakukannya dua rakaat di samping wajib mentakfifkannya. (Fathul ‘Allam:3/113)

Adapun orang yang baru memasuki masjid sedang imam telah duduk atau berada di atas mimbar membaca khutbah, maka harus yakni sunat selagi tidak ditakuti akan luput bertakbiratul ihram bersama-sama imam sebelum dia duduk. Begitu juga orang telah duduk kerana lupa atau jahil tetapi belum panjang jarak masanya disunatkan bersembahyang sunat dua rakaat dengan niat tahyiyatul masjid. (Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)

Pada pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki pula, makruh hukumnya melakukan sembahyang tahiyatul masjid pada ketika itu sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Rahmatul Ummah.(Fathul ‘Allam:3/113).

WALLAHUA'LAM.


Share
|




0 comments:

Post a Comment