HANYA KITA YANG MEMAHAMI DIRI KITA.CUBA YANG TERBAIK HARI DEMI HARI UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Sunday, June 08, 2008

MINYAK OH MINYAK...

asalmkum...

pabila ku mmbaca petikan awlnya,ia sudah ckup memberikan gmbaran betapa kroniknya situsi yg ada..ia ptut dikongsi bersama..ya Allah, berilah kami kekuatan utk meletakkan kembali ap yg hak bgi sesuatu perkara pada kedudukannya...baca dan fikirlah.ini hnya buah fkiran penulis.timbang taralah dri segenap espek, segala pihak dan kepelbagaian methodologi dalam mentafsir dn menaksir....


Oleh Mohd Sayuti Omar
Ahad, 08 Jun 2008

KENAIKAN harga petrol 40% (Rm.78) dan diesel sehingga 63% (RM1.00) bakal memberi bala besar kepada Abdullah Ahmad Badawi. Kesan sudah mulai dirasai rakyat ekoran kenaikan harga bahan bakar itu. Harga barangan makanan dan perkhidmatan lain sudah pun naik mendadak sejak dua hari lepas.

Rata-rata rakyat menjadi nanar dan tidak berapa siuman dan meletakkaan kesalahan itu 100% kepada Abdullah. Tindakan Abdullah itu mudah sangat dan seolah beliau tidak sedikit pun menggunakan kedua belah otaknya untuk mengatasi masalah yang wujud di sebalik melambungnya harga minyak di pasaran dunia itu.

Apabila beliau terus mengumumkan ia memberi gambaran beliau tidak mampu berfikir dan seakan sudah terdesak. Apakah masalah kewangan negara berada dalam keadaan parah sehinggakan kerajaan terpaksa mengorek saku rakyat?

Abdullah dan jemaah menterinya tidak ada ruang untuk berfikir atau berbincang dengan rakyat. Tindakan ini walaupun ia wajar, tetapi tidak bersifat bijaksana oleh Abdullah dalam perkara ini. Kalau negara dalam keadaan kritis adalah elok Abdullah berbincang dengan rakyat. Parlimen boleh digunakan untuk menjadi forum perbahasan sebelum diambil tindakan.

Secara bersendirian

Kalau beliau menggunakan Parlimen ia tidak begitu menampakkan sangat keputusan itu dibuat secara sendirian berhad dan terdesak.

Apabila beliau membuat keputusan sendiri, jangan salahkan rakyat kalau rakyat menjadi iseng memberontak menentangnya. Kalau rakyat kehabisan perbendaharaan kata untuk mencaci dan menyumpahnya.

Sekiranya masalah kewangan negara dalam keadaan kritikal dan ternyata Abdullah gagal menanganinya maka elok kalau beliau berundur. Abdulah ternyata sahih tidak layak menjadi pemimpin! Seorang pemimpin menjadi penyelesai masalah rakyat dan bukannya menambah bebanan hidup rakyat!

Kalau Abdullah masih liat untuk berbuat demikian, keadaan membahayakan dirinya. Tidak mustahil juga langkah pengumuman drastik kenaikan harga minyak itu akan menjadi permulaan ke arah beliau akan didesakan supaya berundur.
Ia akan ditimbun dan dicampur dengan pelbagai masalah yang wujud sejak beliau menjadi PM termasuk krisis kepercayaan dalam Umno.

Abdullah kena ingat apa yang berlaku kepada bekas PM, Mahathir Mohamad masih belum terjadi kepadanya. Tindakan perdana rakyat turun ke jalan-jalan raya mendesak beliau berudur seperti mana berlaku kepada Mahathir masih belum bermula.

Mahathir dulu tidak sampai tiga tahun setelah rakyat berdemon mendesak beliau letak jawatan, akhirnya beliau terpaksa akur dalam sedu sedan tangisan.
Jadi sebelum rakyat menjadi gila, eloklah kalau Abdullah mengambil keputusan bijak berundur sebelum taufan desakan berlaku.

Ternyata kini rakyat sudah tidak dapat bersabar lagi. Tanpa ada jolokan dan hasutan pihak pembangkang rakyat sudah mula menyedari bahawa nasib mereka di tangan Abdullah dalam bahaya dan tidak selamat. Kerana itu mereka tanpa dicuit akan mudah melakukan aksi protes.
Kerana itu walaupun Abdullah merayu agar rakyat tabah menghadapi masalah dan mengugut menerusi polis agar jangan mengadakan tunjuk perasaan, nampaknya ia tidak dipedulikan.
Rakyat lebih memikirkan masalah harian mereka daripada menghormati pemimpin yang mereka merasakan sia-sia berbuat demikian.

Sejak beberapa hari lalu dan pada Jumaat lepas sudah ada aksi memprotes kenaikan harga minyak secara mendadak itu. Permulaanya tidak mudah berakhir. Pasti protes dan desakan ini akan bersambungan sekiranya Abdullah tetap degil enggan menurunkan harga minyak.
Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) telah memberi kata dua kepada Abdullah agar bertindak segera. Protes mahukan harga diturunkan atau kerajaan berbuat sesuatu tindakan positif.

Sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi satu himpunan rakyat besar-besaran akan diadakan pada 21 Julai hadapan.

Berselindung

Sekiranya tunjuk perasaan mega itu berlaku, ia akan meletakkan Abdullah dalam lautan kebencian rakyat. Kali ini usahlah Abdullah berselindung di sebalik kebaikan dan keturunannya, rakyat tidak akan peduli. Bila sampai tahap perut berkeroncong manusia akan menjadi hilang arah dan emosi.

Sisa-sisa waktu masih ada bagi Abdullah memperbetulkan keadaan. Ada tiga langkah yang boleh beliau lakukan:

1. Beliau kena berundur daripada menjadi Perdana Menteri. Persoalannya kalau beliau berundur siapakah yang akan menangani masalah itu? Ternyata Mohd Najib Razak tidak berkemampuan. Menurut Anwar Ibrahim, Najib tidak tahu ekonomi. Memberi kerja kepada seseorang yang bukan ahlinya tunggulah akan kemusnahannya.

2. Jadi dalam Umno hari ini ada orang yang benar-benar pakar dalam ekonomi. Dia ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Abdullah boleh lantik Razaleigh menjadi menteri kewangan. Lupakan sekejap soal-soal peribadi dan tumpukan kepada menyelesaikan masalah negara. Rasanya Razaleigh tidak akan menolak kalau beliau diminta membantu negara. Lagipun beliau ke hulu ke hilir macam orang kemabukan ubi gadung sekarang ini pun atas nawaitu nak bangunkan negara.

3. Atau kalau Abdullah merasakan sukar untuk melakukan salah satu tindakan di atas, beliau serahkan saja kerajaan hari ini kepada Pakatan Rakyat. Biar Anwar Ibrahim yang tergila nak jadi menjadi PM menguruskan negara. Lagipun sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat mereka akan menurunkan harga minyak. Mari sama-sama kita uji Anwar apakah beliau mampu atau hanya sekadar omelan kosong dan kemaruk politik untuk menjadi PM sahaja. Lepas beliau menjadi PM dan beliau tidak pedulikan rakyat, harga minyak tidak turun juga marilah pula kita ramai-ramai sumpah Anwar.

Sekali lagi ditegaskan Abdullah kena berbuat sesuatu. Isu kenaikan harga bahan bakar itu bukan seperti isu Islam Hadhari ataupun penglibatan anak beranaknya dalam perniagaan yang menggunakan kedudukan (oportuniti) dalam kerajaan.

Isu minyak adalah isu tembolok yang mana dunia telah banyak mempamerkan isu ini boleh menyebabkan seseorang pemimpin atau kerajaan jatuh tersungkur! Kemasukan Ezam Mohd Nor ke dalam Umno tidak boleh digunakan untuk meredakan kemarahan rakyat atas kenaikan harga minyak!