PERMASALAHAN DOA SELEPAS SOLAT
Oleh : Pelajar-pelajar Pondok Pasir Tumboh
Ini adalah satu penjelasan yang baik bagi membahaskan 'Masalah Berdoa Selepas Sembahyang Fardu Secara Berjemaah'. Tujuannya adalah untuk menerangkan kekeliruan yang timbul daripada suara-suara sumbang kejahilan yang tidak berasas .
Kami bahagikan kepada tiga bahagian iaitu Hadis Sunat Berdoa Selepas Sembahyang, Hadis Berdoa Secara Berjemaah yang menjadi sandaran bagi masalah ini dan keterangan bagi kekeliruan. Mudah-mudahan dapat difahami dengan jelas oleh seluruh kaum Muslimin.
HADIS SUNAT BERDOA SELEPAS SEMBAHYANG.
1) Daripada Muaz, bahawasanya Nabi s.a.w berkata "Ya Muaz, demi Allah sesungguhnya aku mengasihi engkau, jangan engkau tinggalkan berdoa selepas sembahyang dengan doa : Allahumma a'inni 'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatika.
2) Hadis daripada Abi Bakrah pada katanya : Allahumma a'innia'uzubika minal kufri wal faqri wa 'azabil qabri "Adalah Rasulullah s.a.w berdoa dengan doa ini selepas sembahyang"
3) Hadis Abi Hurairah, ditanyakan Nabi s.a.w "Ya Rasulullah! bilakah doa yang terlebih segera diperkenankan? Bersabdanya "Doa selepas solat fardu ( ba'da al-Maktubah ) terlebih afdal daripada doa selepas solat sunat seperti kelebihan solat fardu mengatasi solat sunat".
4) Diriwayatkan hadis ini oleh Thabari daripada Jaafar Assadiq berkata "Doa selepas solat fardu terlebih afdal daripada doa selepas solat sunat seperti kelebihan solat fardu mengatasi solat sunat".
5) Diriwayatkan hadis ini oleh Ibnu Syaibah daripada Al-Aswad Al-Aamiri daripada bapanya berkata "Bersolat subuh aku bersama Rasulullah s.a.w dan setelah selesai memberi salam lalu baginda berganjak dan mengangkat kedua tangannya berdoa".
HADIS BERDOA SECARA BERJEMAAH
Kami paparkan sebilangan hadis yang menjadi dalil dan sandaran bagi Berdoa Secara Berjemaah Selepas Solat Fardu, di antaranya:-
1) Diriwayatkan hadis ini oleh Thabarani di dalam kitabnya, Al-Ausath daripada Qais AL-Madani : 'Waktu aku, Abu Hurairah dan seorang sahabat sedang berdoa dan berzikir mengingati Tuhan kami Azzawajalla di dalam masjid, tiba-tiba datang Rasulullah ke arah kami dan duduk bersama-sama, kami pun berdiam diri, lalu ia bersabda "Kembalilah kepada apa yang sedang kamu lakukan." Berkata Zaid "lalu aku serta sahabatku berdoa di sisi Abu Hurairah lalu baginda mengaminkan doa kami'
2) Diriwayatkan hadis ini oleh Thabarani daripada Abi Hurairah daripada Habib bin Musallamah berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah berhimpun satu jamaah (perhimpunan) lalu berdoa salah seorang di kalangan mereka itu dan yang lain mengaminkan doanya, melainkan Allah memperkenankan doa mereka.
3) Tersebut di dalam Sahih Muslim pada 'Bab Harus Berjemaah Pada Solat Sunat'. Selepas bersolat sunat Nabi s.a.w berjemaah bersama-sama dengan Anas, emak dan emak saudaranya lalu berdoa Nabi dengan secara berjemaah. Hadisnya secara ringkas, "Maka sembahyang Nabi dengan kami, Kemudian ia mendoakan kami ahli rumah dengan setiap kebaikan dunia dan akhirat". Dan adalah akhir doanya bagiku, "Ya Allah, perbanyak dan berkatilah harta dan anaknya, Anas".
4) diriwayatkan hadis ini oleh Thabarani didalam kitabnya AL-Kabir daripada Ibnu Abbas dan didalam AL-Ausath daripada Ibnu Omar, berkata keduanya, "Telah sembahyang Rasulullah s.a.w solat subuh, kemudian menghadap kaumnya lalu berdoa, "Ya Allah, berkatilah kami pada bandar kami dan berkatilah pada cupak kami dan gantang kami".
Berkata AL-Muhaddis AS-Saiyid Mohd Yusuf AL-Banuri didalam kitabnya 'Maarifussunan' ( Jilid 3, muka 123 ) berkenaan hadis di atas, "Maka ini ( hadis di atas ) dan hadis seumpamanya pada bab ini ialah memadai sebagai hujjah ( dalil ) bagi perkara yang dibuat secara beradat oleh manusia pada sekelian negeri, yaitu berdoa secara berjemaah selepas sembahyang. Kerana inilah juga telah menyebut Fuqaha kami ( ahli fekah bermazhab Hanafi )..."
Dan berkata Imam Nawawi dalam kitab Syarah Muhazzab, "Berdoa disunatkan bagi Imam, makmum dan mereka yang bersembahyang seorang diri mengiringi sekalian sembahyang dengan ketiadaan khilaf Ulama pada hal tersebut" dan katanya lagi, "Disunatkan berhadap imam ke arah makmum dan berdoa."
KETERANGAN
Hadis-hadis diatas menunjukkan bahawa:
(i) Disunatkan bagi imam, makmum dan mereka yang sembahyang seorang diri, berdoa selepas solat fardu dan sunat.
(ii) Disunatkan bagi imam, berdoa secara berjemaah bersama-sama makmum selepas solat fardu dan sunat.
(iii) Disunatkan bagi makmum mengaminkan doa imam.
(iv) Disunatkan mengangkat kedua tangan ketika berdoa.
PERINGATAN :
1) Tidak semestinya perlu ada hadis yang terang-terangan menyatakan Nabi s.a.w berdoa secara berjemaah selepas Solat Fardu, kerana apabila 'Doa Secara Berjemaah' yg disabdakan baginda secara berasingan seperti hadis2 di atas, maka memadailah sebagai dalil dan bukti kukuh utk boleh mengerjakannya pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi amalan berdoa secara berjemaah ini dilakukan pada waktu yang disunatkan berdoa, iaitu selepas menunaikan solat fardu.
Masalah ini seumpama dengan masalah Tazkirah ( peringatan / ceramah ) selepas solat Tarawih. Tidak ada satu hadis pun yang menyatakan Nabi dan Saiyidina Omar mengerjakannya selepas Tarawih. Oleh itu, tidak boleh sekali-kali menuduh mereka yang mengerjakannya sebagai pembuat bidaah dhalalah, kerana Tazkirah itu sendiri ada sandaran dalil syarak, lebih-lebih lagi dilakukan di bulan Ramadhan. Walaupun sandarannya itu tidak secara terang-terang menyatakan selepas Solat Tarawih dan Solat Tasbih berjemaah pada malam Aidilfitri.
2) Jika diterima perkataan mereka bahawa perlu ada dalil yg terang-terangan mengerjakan sesuatu perkara itu, maka dalil yang melarang melakukan sesuatu perkara juga mestilah juga secara terang-terangan, kerana firman Allah SWT.,
Maksudnya: 'Apa yang mendatangkan Rasul kepada kamu ,hendaklah kamu lakukan dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi.'
tetapi tidak ada satu pun dalil yang terang-terangan di dalam kitab-kitab hadis yang melarang kita berdoa secara berjemaah selepas solat fardu, maka oleh itu terbatallah hujah yg mengatakan tidak boleh berdoa secara jemaah..
berdoa secara berjemaah selepas solat fardu ini adalah salah satu perkara yang didatangkan oleh Rasul kepada kita kerana ianya disandarkan dengan dalil-dalil syarak.
3) Jika sesuatu perkara tidak disandarkan dengan sesuatu daripada kaedah-kaedah syarak dan dalil-dalilnya yang umum, bolehlah dikatakan perkara tersebut itu "Bida'ah" seperti firman Allah:
Maksudnya: 'Sesiapa yang mereka-reka pada urusan kami ( syarak kami ) sesuatu perkara yang bukan daripada syarak kami, maka perkara tersebut ditolak'
Ibnu Hajar AL-Haitami menjelaskan di dalam kitab tafsir Fathul-Mubin berkenaan lafaz "laisa minhu" (sesuatu perkara yang bukan daripada syarak kami) iaitu,
"Daripada perkara yang menyalahi syarak kami atau perkara yang tiada suatu sokongan pun daripada kaedah-kaedah syarak kami dan dalil-dalilnya yang umum,"
4) Oleh itu, perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w atau sahabat, tidak semestinya perkara itu Bidaah Dhalalah. Contohnya seperti menitik ayat Quran dan membariskannya, membahagikan ilmu kepada berbagai-bagai bahagian serta membuat istilah dan kaedah bagi setiap bahagian ilmu seperti ilmu Fikah, Usuluddin, Tasawuf, Tata bahasa Arab, ilmu Ma'ani, ilmu Bayan, ilmu Mantik, ilmu Sya'ir, Usul Tafsir, Mustalah Hadis dan lain-lain, mengarang kitab-kitab ilmu, menubuhkan gerakan-gerakan islam, mendirikan madrasah pengajian, mensistemkan pembelajaran dan sebagainya..semuanya boleh kita lakukan dgn mendapat manfaat dan pahala dengannya..
mereka yg berkata doa berjemaah selepas solat fardhu adalah bid'ah dhalalah adalah disebabkan kejahilan tetapi berpura2 tahu dengan ilmu yg cetek disamping adanya sifat takabbur yg ada dalam hati mereka..
Janganlah kita terpedaya dengan mereka yang memfasikkan orang mukmin dan memecahbelahkan Umat Islam.
Hendaklah kita menuruti jejak langkah Ulama' yang muktabar dengan mempelajari ilmu supaya kita tidak tersesat jalan dan menyesatkan orang lain pula..
assalamulaikum wbt...
dihasilkan oleh:Pelajar Pondok Pasir Tumbuh Kota Bahru, Kelantan Malaysia. diedit oleh admin.
DSK Tingkatan 6 Dini Mulai 2025
3 months ago
2 comments:
akum, saya baca dr buku "Fatwa Panduan Solat" selenggaraan Abu Ruwais As-Syubwari terbitan Karya Bestari, mengatakan bhwa berdoa selepas solat adalah bidaah, dan bukan sunnah Nabi. Berdoa juga todak boleh dengan menadah tangan. Ini merupakan kejutan buat saya kerana selama ini saya percaya bahwa berdoa slps solat adalah sunat. tolong perjelaskan kekeliruan ini.
Salam.. bagi sayalah berdoa itu tidak salah samada selepas solat fardhu atau sunnah(malahan menjadi saranan agar kita sentiasa mengingati-NYA) cuma apa yang dibaca oleh imam dalam doa tersebut biarlah makmum faham erti doa yang dibaca oleh imam barulah makmum mengaminkannya... adalah baik imam tersebut menggunkan bahasa yang mudah difahami oleh makmum contohnya dalam bahasa melayu...sebab saya belum temukan dalil2 atau hujah yang melarang kita menggunakan bahasa lain berdoa selapas solat fardhu atau sunnah (wallahualam)..... Adalah lebih afdal sekerinya makmum tersebut berdoa sendiri untuk dirinya agar memenuhi Firman Allah (subhana wa taala)dalam surah al-Baqarah ayat 152(QS:2:152)
wasalam
Post a Comment