PERBANDINGAN HUJAH antara satu kepala negarawan ulung bekas pemerintah 22 tahun Malaysia dan 53 kepala pakar-pakar bahasa universiti utama negara dan satu kepala manusia yg terlibat secara langsung dengan ilmu sains peringkat tinggi. pendapat yang mana satu patut kita terima?? yang pasti, janganlah anak2 kita terus menjadi bahan eksperimen yang tak kunjung sudah.. masa depan mereka jangan sekali kita perjudikan! 1 ) Kajian: 4% kuasai BI melalui PPSMI |
Jimadie Shah Othman, MalaysiaKini |
Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelari dua subjek tersebut. "Sumbangan PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik. Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik." Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina). Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara. Ia merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003 dikembalikan. "Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. "Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik. Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam. Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris. Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Pejabat Daerah dan sekolah tertentu. Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Rauf Yusoh yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini. Laporan itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara. Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas. Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Rauf berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000. Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanak sekolah – turut dipilih sebagai sampel. Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu. "Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya. 2) PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. 2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu. 5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu. 6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan. 7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa. 8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan. 9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut; • Oxygenation • Oxidation • Oxide • Oxidants • Deoxydation • Oxidise • Oxidification • Dioxide • Monoxide • Peroxide 10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen. 11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi. 12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis. 13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah. 14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains? 15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini. 16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks. 17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris? 18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris. 19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar? 20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu? 21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar. 22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah. 23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja. 24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita. 25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang. 26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang. 3) PPSMI: Hanya pakar sains dan metematik layak memberi pandanganOleh Syed Shatir Asghrar Syed-Hassan KLpos Sains dan matematik adalah ilmu asas yang perlu ada bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi. Bidang sains dan teknologi pula adalah satu bidang yang terpenting di dunia pada masa kini. Bidang yang perlu dikuasai oleh setiap negara. Penguasaan sains dan teknologi dapat menjadikan sesebuah negara itu menjadi berkembang dan maju. Sains dan teknologi juga amat penting untuk penyelesaian masalah-masalah dunia seperti dalam pencarian sumber tenaga baru dan juga pencarian vaksin pencegah wabak. Saya sebagai salah seoarang yang berkecimpung dalam bidang sains dan teknologi ini merasakan perlunya mata pelajaran sains dan matematik diajar dan dipelajari dalam bahasa Inggeris. Saya dan mereka yang seangkatan dengan saya sudah merasai perit jerih untuk mengadaptasi pembelajaran dalam bahasa Inggeris di universiti sesudah mengenal sains dan matematik dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah. Sehingga tingkatan lima, dengan mudah saya memperolehi bacaan-bacaan dalam bahasa Melayu, tetapi apabila pergi ke alam universiti, semua rujukannya berbahasa Inggeris. Tuhan saja yang tahu betapa kekok dan susahnya mengalami proses perubahan yang mengejut itu. Kalau boleh, saya tidak mahu melihat generasi masa depan mengalami nasib yang sama seperti mana yang saya alami. Mengapa kita perlu PPSMI? Sains dan teknologi adalah cabang ilmu yang bergerak begitu pantas. Hampir setiap hari ada penemuan baru. Penemuan-penemuan ini biasanya diistilahkan dalam bahasa Inggeris dan istilah tersebut amat mungkin tiada lagi tafsirannya dalam bahasa kita. Saintis-saintis kita kemudiannya akan mencari istilah sesuai untuk penemuan tersebut. Ini sudah pasti mengambil masa. Dalam pada kita mencari istilah tersebut, orang lain sudah menjumpai penemuan yang lebih kehadapan. Kita masih mencari istilah yang sesuai. Selama-lamanya kita akan terkebelakang dalam hal ini. Kita perlu akui bahawa untuk menguasai sesuatu cabang ilmu itu perlukan penguasaan yang tingi dalam bahasa ilmu itu. Sebagai contoh, untuk mendalami ilmu agama ke peringkat yang tinggi, kita memerlukan mereka yang boleh menguasai bahasa arab dengan baik. Ini kerana banyak kitab-kitab ditulis dalam bahasa Arab. Begitu juga dengan sains dan teknologi. Hakikat yang perlu diakui adalah bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu bagi sains dan teknologi pada masa kini. Saintis-saintis negara lain sebenarnya menerima hakikat atas perkara ini. Bahasa inggeris diakui sebagai medium komunikasi saintis-saintis dunia. Saintis-saintis dari negara China dan Jepun juga sekarang ini berlumba-lumba mengusai bahasa inggeris. Di zaman kegemilangan empayar Islam, memang benar dikatakan bahasa ilmu ketika itu adalah bahasa arab. Bangsa-bangsa lain sudah pasti harus mempelajari bahasa arab untuk menerokai ilmu tersebut. Walaubagaimanapun, masa telah berubah. Bahasa ilmu bertukar dari zaman ke zaman. Sekarang ini bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu untuk sains dan teknologi. Tidak mustahil suatu hari nanti jika seseorang yang ingin mendalami ilmu pengajian Islam perlu menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa Arab dengan mantap kerana semakin banyak rujukan dalam bidang ini ditulis dalam bahasa Inggeris. Ada mereka di luar sana berpendapat, kalau nak mahirkan bahasa Inggeris tidak semestinya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kita boleh tambah masa pembelajaran untuk mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Bagi saya, mereka ini tidak faham hujung dan pangkal. Suka saya tekankan, English for communication, Business English, English for Science and Technology dan banyak lagi English itu perlukan skil-skil yang berbeza. Kalau boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik belum tentu dapat memahami artikel-artikel dalam bidang sains dan teknologi. Saya sudah acap kali bertemu bangsa Inggeris yang menanyakan tentang bidang yang saya ceburi. Bila saya memberi penjelasan, mereka akan kata: Can you please explain in simple English? Its too technical! Kalau bangsa Inggeris sendiri tidak dapat memahami istilah-istilah sains dan teknlogi, apatah lagi kita yang menggunakan bahasa Melayu? Sudah tentu caca marba jadinya kalau setiap satu hendak diterjemahkan. Di bawah ini saya sertakan contoh bahasa Inggeris yang digunakan dalam bidang saya.:
Saya akui saya tak mampu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu yang boleh difahami. Ini hanya sebagai contoh. Banyak lagi istilah-istilah dalam bidang lain. Sains dan teknologi itu sendiri sangat luas. Untuk memudahkan penterjemahan akhirnya dimelayukan saja istilah-istilah inggeris tersebut. Maka jadilah seperti perkataan-perkataan reformasi, dekadensi,informasi, farmasi, universiti, sosiologi dan banyak lagi. Mengapa tidak digunakan saja bahasa Inggeris kalau begitu? Di sini saya ingin menekankan bahawa perlunya istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris didedahkan kepada anak-anak kita dari kecil. Supaya nanti bila ke universirti tidak menjadi terkejut seperti mana yang saya alami. Akan hilangkah kemelayuan kita kalau belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Saya rasa tidak mungkin sama sekali. Saintis-saintis berketurunan Cina atau Jepun di universiti-universiti terkemuka dunia masih tebal kecinaan dan kejepunan mereka walau mereka sudah mampu berbahasa inggeris lebih baik baik dari orang Inggeris sendiri. Tiada cacat tiada celanya kecinaan dan kejepunan mereka. Saya boleh berkata begini kerana penyelia PhD saya dan rakan-rakan saya adalah berbangsa China. Mereka sendiri akui perlunya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi saintis dan teknologis yang hebat. Mengapa kita tidak boleh menerima hakikat ini? Ada seorang penulis blog kata bangsa Iran tak belajar dalam bahasa Inggeris pun boleh buat roket dan vaksin. Saya rasa penulis ini terlalu banyak bersastera sampai terlupa akan hakikatnya bahawa ramai pelajar-pelajar dari Iran sedang menuntut di Universiti-universiti dalam negara kita dan lain-lain negara. Saya juga ada rakan dari Iran. Dia sendiri akui susah nak belajar dalam bahasa Inggeris sebab dulu di Iran dia tak pernah guna bahasa Inggeris. Bagi yang lebih bijak akan menunjukkan hasil-hasil kajian bahawa kononnya PPSMI gagal. Murid-murid tidak mampu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan mereka. Bunyinya semacam fakta-fakta ini cukup bijak dan sukar untuk ditangkis oleh mereka yang Pro-PPSMI. Mereka ini juga sebenarnya terlupa bahawa kajian ini dilakukan ke atas kanak-kanak sekolah. Tujuan PPSMI bukanlah untuk meningkatkan keputusan UPSR kanak-kanak sekolah. Tujuannya amat jauh ke hadapan. Untuk meningkatkan penguasaan sains dan teknologi kita di masa akan datang. Kajian-kajian ini tidak patut dijadikan rujukan. Sains dan matematik itu sendiri memang agak susah berbanding dengan mata pelajaran lain waima digunapakai bahasa Melayu sekalipun. Kalau pengkaji menemubual kanak-kanak sekolah, sudah tentu mereka akan kata susah. Saya hairan dengan cara orang kita berfikir. Terlalu pentingkan keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolah. Sebanarnya peperiksaan di sekolah itu tidak menjamin apa-apa pun masa depan anak-anak kita di masa depan. Dah banyak saya saksikan pelajar cemerlang di peringkat sekolah tidak mampu menjadi pelajar cemerlang di universiti. Peringkat sekolah adalah lebih kepada peringkat latihan dan persediaan. Kita patut gembira kalau semua pelajar dapat C dalam matapelajaran Sains di sekolah. Ini menujukkan adanya ruang untuk proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak itu. Sepatutnya kita patut merasa risau kalau semua pelajar dapat A dalam subjek mereka. Ini menunjukkan silibus itu terlalu mudah dan tiadanya ruang mereka untuk menambahbaik. Kita patut berani belajar dari kegagalan. Salah satu prinsip Leonardo da Vinci juga adalah belajar dari kegagalan. Lebih baik kanak-kanak ini merasa susah diperingkat awal dari bersusah di kemudian hari. Sekiranya kajian ingin dilakukan ke atas keberkesanan PPSMI, saya cadangkan jangan jadikan pencapaian kanak-kanak sekolah sebagai satu parameter kajian. Sebaliknya tunggu mereka ini masuk universiti dan bergelumang dalam bidang sains dan teknologi di peringkat yang lebih tinggi. Kalau dilihat balik, banyak yang menentang dasar PPSMI ini datangnya dari bukan yang berlatar belakangkan sains dan teknologi. Rata-rata adalah orang Arts. Ini masalah sains dan teknologi!!!. Biarlah orang dalam bidang ini yang memberi pendapat. Perlu atau tidak perlunya sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Biarlah orang sains dan teknologi bertegang urat untuk mencari jawapan dalam masalah ini. Mereka lebih tahu dalam perkara ini. Bagi mereka yang ingin memperjuangkan bahasa dan bangsa melayu, saya rasa banyak lagi yang boleh diperjuangkan. Mengapa tidak diperjuangkan penghapusan musik, filem dan program-program TV berbahasa Inggeris. Kalau nak dibandingkan dengan PPSMI, musik, filem dan program-program TV Inggeris lebih banyak mudaratnya dan mampu mencemarkan budaya kemelayuan kita. Kepada orang-orang politik pula, lebih baik duduk diam tunggu apa kata pakar-pakar sains dan teknologi kita. Pihak pembangkang sudah tentu tak setuju sebab boleh jadi bahan politik mereka. Bagi pihak kerajaan pula, kalau sudah terlalu takut undi hilang, mungkin sanggup buat keputusan yang tak populis. Akhirnya generasi ke hadapan kita yang akan rugi. Sama-sama fikirkanlah… *Penulis merupakan seorang pembaca KLpos.com yang sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang kejuruteraan kimia di Australia |
DSK Tingkatan 6 Dini Mulai 2025
3 months ago
1 comments:
aku adalah pelajar dalam bidang teknologi. waktu di sekolah menengah aku belajar dalam bahasa melayu. masa di universiti aku belajar dalam bahasa inggeris. tak menjadi masalah pun bagi aku. belajarla bahasa inggeris elok2 masa kelas bi. itu pun dah cukup. bg aku kalo seseorg ada keinginan utk mendalami sesuatu ilmu, dia akan ada inisiatif sendiri utk belajar sesuatu bahasa itu. tak perlu dipaksa-paksa. bg aku soal bahasa ni isu remeh...
Post a Comment