HANYA KITA YANG MEMAHAMI DIRI KITA.CUBA YANG TERBAIK HARI DEMI HARI UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Sunday, May 03, 2009

APA ITU KEPIMPINAN?


Ia adalah ciri-ciri atau kebolehan untuk menginspirasi atau mempengaruhi orang lain untuk melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat yang tertentu. ‘Orang lain’ itu samada orang bawahan dalam organisasi, ataupun mungkin orang awam diluar organisasi.


Dalam Islam, matlamat seorang pemimpin itu mestilah bertepatan dengan al Quran dan as Sunnah.

Sayyidina Umar RA pernah berkata,


“Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, sebaliknya sanggahilah aku jika kamu mendapati aku menyanggahi Allah dan RasulNya…”


Terdapat pendapat bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik, anda mesti mempunyai bakat semulajadi (inborn quality). Sebab itu pada zaman dahulu raja-raja dan pembesar-pembesar dipilih berdasarkan keturunan, kerana dilihat bahawa kepemimpinan akan diwariskan dari ayah kepada anaknya.


Namun begitu, pandangan sedemikian sudah tidak diterima lagi. Ahli fikir zaman sekarang berpendapat bahawa ciri-ciri pemimpin yang baik dapat dipupuk dan dibina, bukannya anugerah semulajadi keturunan. Oleh kerana itu, kita dapat melihat beberapa contoh pemimpin dunia yang datang dari latarbelakang yang berbeza.


Contohnya, Rasulullah SAW sendiri adalah seorang anak yatim piatu dan penggembala kambing, tetapi akhirnya menjadi pemimpin teragung dunia. Umar Abdul Aziz pula mujaddid Islam yang datang dari kerabat Khilafah Umayyah. Abraham Lincoln adalah seorang anak miskin yang tinggal di kampung yang daif. Tunku Abd Rahman pula dari keluarga diraja. Begitulah beberapa contoh yang menunjukkan bahwa latarbelakang asal tidak menentukan samada seseorang itu menjadi pemimpin yang baik atau tidak, tetapi faktor pendedahan dan pengalaman yang dilaluinya.


Kenapa orang menjadi pemimpin?


Pada pandangan Barat, orang memilih untuk menjadi pemimpin kerana beberapa sebab. Pertama, kerana ingin mencapai tujuan-tujuan social; contohnya, untuk memerdekakan tanahair, atau untuk memajukan masyarakat, atau untuk mengangkat martabat sesebuah institusi tertentu. Kedua, kerana untuk kepuasan peribadi, contohnya untuk menguji kebolehan sendiri dan kepuasan apabila mencapai sesuatu tujuan. Dan ketiga, orang ingin menjadi pemimpin kerana prestij dan keinginan untuk dihormati dan dihargai.


Namun dalam Islam, kepimpinan adalah suatu tanggungjawab dan amanah dari Allah. Ia adalah suatu yang suci dan mestilah lahir dari hati yang ikhlas tulus; semata-mata untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah di muka bumi. Allah berfirman dalam surah al Baqarah, bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi. Ini bermakna kita semua diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mentadbir bumi ini dengan sistem yang ditentukan oleh Penciptanya. Untuk itu, al Quran sentiasa menyuruh kita menyeru kepada yang baik dan mencegah yang mungkar, atau yang kita kenali sebagai dakwah. Untuk melaksakan dakwah, ciri-ciri kepemimpinan yang effektif diperlukan.Bahkan. Rasulullah SAW juga menyebut bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin, dan kita beratanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang dipimpin oleh kita. Tetapi bagaimana untuk memenuhi tuntutan tersebut? Tidak lain dan tidak bukan, dengan memiliki ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang…


Bagaimana untuk membina ciri-ciri pemimpin yang cemerlang?


Ada tiga proses paling utama untuk membina sifat kepemimpinan; Pertama, pendedahan; Kedua, latihan; dan yang ketiga ialah pengalaman. Ketiga-tiga proses ini akan mencanai seseorang itu untuk membina sifat-sifat pimpinan yang dinamik, kreatif, dan progresif.


Pertama, pendedahan yang mesti diberikan ialah tentang konsep kepemimpina secara menyeluruh. Remaja kita mesti didedahkan dengan beberapa bentuk dan model kepemimpinan, contohnya autokratik, demokratik, laissez-faire, dan lain-lain. Dengan pengetahuan seumpama ini, maka remaja akan dapat menganalisa corak-corak yang diamalkan diseluruh dunia, dan akhirnya menilai unsur positif yang terkandung dalam corak-corak kepimpinan tersebut. Insya Allah jika diberi kesempatan, saya akan menjelaskan beberapa corak kepemimpinan yang selalu diamalkan sekarang.


Kedua, beberapa siri latihan mestilah ditempuhi untuk mengetahui sejauh mana keupayaan yang kita miliki. Latihan tersebut samada secara formal atau informal. Rasulullah SAW juga mendapat latihan secara tidak langsung apabila menjadi penggembala kambing dan saudagar antarabangsa. Namun pada hari ini, terdapat banyak bengkel dan seminar diadakan untuk memberi latihan kepimpinan kepada anak-anak muda.


Ketiga, pengalaman yang berguna sangat penting untuk melengkapkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik. Sekadar pendedahan dan latihan sahaja tidak mencukupi untuk membina seorang pemimpin yang baik. Oleh yang demikian, anda mestilah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti ko kurikulum di sekolah atau tempat anda belajar. Jangan malu dan segan untuk menerima tanggungjawab demi untuk pembaikan masyarakat, dan juga untuk menambahkan pengalaman anda. Semakin banyak pengalaman, semakin matang seseorang pemimpin itu. Sayyidina Umar RA adalah juga seorang pemuka Quraisy di zaman jahiliyyah, seorang pahlawan dan seorang sahabat rapat Rasulullah SAW. Dengan pengalaman-pengalaman yang banyak, akhirnya beliau menjadi seorang khalifah yang banyak melakukan usaha-usaha pembaikan yang diikuti sehingga sekarang. Pada waktunya jugalah wilayah Islam tersebar luas sehingga ke Benua Kecil India dan Benua Afrika. Itulah salah satu contoh pemimpin yang baik hasil daripada pengalaman yang luas dan pelbagai.


Apakah keperluan utama untuk menjadi pemimpin yang baik?


Sebenarnya ada banyak keperluan yang mesti dimiliki untuk menjadi pemimpin yang baik dan sewajarnya unsure-unsur ini mesti diterapkan dalam setiap insan. Namun di sini dapt simpulkan kepada tiga perkara yang paling asas:


a) Sikap yang positif:


Sikap merupakan penentu kejayaan atau kegagalan sesuatu perkara. Ramai pelajar-pelajar yang ponteng kelas adalah kerana malas dan alasan-alasan yang dicipta. Sebenarnya, alasan-alasan itu adalah hasil daripada sikap yang negatif dan suka berdalih. Begitu juga dalam melahirkan pemimpin yang baik. Sikap-sikap positif mesti diperkuatkan untuk melahirkan ciri-ciri yang diperlukan; amanah, bertanggungjawab, rajin, prihatin, jujur, progresif, dan optimis. Kerana itu Rasulullah SAW pernah memberitahu bahwa dalam tubuh manusia terdapat seketul darah, jika baik darah tersebut, maka baiklah seluruh badan, sebaliknya jika buruk daging tersebut, maka buruklah seluruh badan, dan daging tersebut ialah hati. Dalam konteks ini, hati boleh dianggap sebagai elemen yang menentukan sikap seseorang.


b) Ilmu dan pengetahuan yang luas:


Ciri ini adalah penting untuk melahirkan seorang pemimpin yang bermaklumat, berpandangan jauh, bijak, dinamik, kreatif, dan tidak putus akal. Sebagai muslim, kita mesti mempunyai beberapa ilmu utama; ilmu aqidah, tasawwur Islam yang sebenar, memahami al Quran dan as Sunnah, dan mengetahui beberapa asas dalam ilmu usul fiqh. Untuk menjadi seorang yang berilmu, anda mesti menuntut ilmu dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Tetapi ia belum menjamin bahawa anda boleh menjadi seorang yang bermaklumat. Untuk memiliki maklumat, anda mestilah mempunyai sikap inquiry, iaitu perasaan ingin tahu terhadapa apa yang berlakui di sekeliling. Ia memerlukan pembacaaan luas dan saluran media massa yang cepat dan tepat. Maklumat seperti ini akan banyak membantu anda dalam membuat keputusan dalam memimpin.bukan hanya dengan memiliki beberapa buah buku kepimpinan dan agama, sudah meletakkan diri pada tempat yang layak untuk memimpin.pemikiran haruslah terbuka dalam pelbagai cabang tanpa melewati asas Islam yang dibenarkan. jika berfikiran sempit dan menafikan keterbukaan dalam perbincangan ilmu dan membuat keputusan, seseorang yang mempunyai kuasa dianggap sebagai kolot, bodoh sombong dan tidak matang.


c) Kemahiran memimpin


Ia adalah pengetahuan khusus yang mesti dimiliki oleh pemimpin yang berkarisma. Jika anda ingin menjadi seorang penukang kayu, anda mesti mahir menggergaji, memahat, menukul, mengasah, mengukur dan memaku. Begitu juga dengan pemimpin. Ada beberapa kemahiran yang mesti dimiliki jika anda ingin menjadi pemimpin yang berkesan dan berkarisma. Antaranya ialah kemahiran berfikir, kemahiran berucap, kemahiran komunikasi, kemahiran mengurus, kemahiran interpersonal, dan kemahiran personality.



Ini antara ciri2 khusus yang wajib ada pada semua insan yang mahu bergelar pemimpin dalam kehidupan bermasyarakat..sememangnya setiap dari kita adalah pemimpin.paling asas adalah 'bos' kepada nafsu, tubuh dan akal kita sendiri. kemajuan dan pembangunan rohani akhlak dan fizikl sesuatu kaum bergantung kepada kemampuan kepimpinan yang unggul..

Sdr. Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain


ini pula pendapat dr maza tentang kepimpinan : klik sini

0 comments:

Post a Comment